PERANGI RASUAH BUKAN PERANGI SPRM
Petikan rencana YB Irmohizam Ibrahimdi Utusan Malaysia berhubung penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat 1MDB.
SABTU lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat segala tohmahan dan tuduhan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan melakukan siasatan secara telus dan adil.
Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO dipetik berkata semua pihak perlu yakin bahawa pembentukan pasukan petugas khas itu adalah untuk mencari kebenaran, sama ada segala tuduhan terhadap 1MDB itu benar atau sebaliknya.
Harapan beliau siasatan ini mesti telus dan mengikut lunas undang-undang yang siasatan tidak mengira sesiapa pun.
Harapan ini dikeluarkan ketika segelintir pihak cuba mengalihkan isu yang sebenar, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat kononnya agensi penguat kuasa yang diamanahkan tidak akan menyiasat dengan bebas dan telus.
Malah, pemimpin-pemimpin pembangkang menyifatkan anggota pasukan petugas itu sebagai hanya ‘pegawai bawahan’ kepada ‘ketua’ mereka yang kini sedang disiasat.
Pasukan petugas khas dianggotai oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Jika kita membuka lipatan sejarah, sudah menjadi lumrah bagi pihak pembangkang mencetuskan andaian dan tanggapan negatif daripada awal-awal lagi bahawa pasukan siasatan akan memihak kepada kerajaan.
Sudah pasti dalam hal ini berkenaan dengan Perdana Menteri yang merupakan fokus dalam isu yang disiasat.
Meskipun ada pihak cuba menjejaskan moral dan motivasi pasukan petugas khas, diharap agensi penguat kuasa yang menganggotai pasukan petugas khas ini akan menjalankan tugas mereka dengan tegas tanpa rasa takut.
Berdasarkan pengalaman yang ada pada agensi-agensi penguat kuasa, rakyat pasti tugas yang berada di hadapan mereka akan disempurnakan dengan baik dan penuh berintegriti.
Selaku ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, saya hairan kerana isu ketidakpercayaan ke atas pasukan petugas khas ini dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen. Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah ini dianggotai oleh wakil rakyat kesemua parti utama yang ada kerusi di Parlimen iaitu Barisan Nasional (BN), DAP, Pas dan PKR.
Bermakna pihak-pihak yang membangkitkan isu ini ada wakil atau anggota dalam pasukan petugas ini. Atas kedudukan itu, saya terkejut apabila isu ini dibawa oleh wakil rakyat. Apa tujuan mereka?
Di pihak SPRM, saya pasti status dan kesudahan perkara yang menjadi subjek siasatan akan dibangkitkan dalam mesyuarat yang diadakan dari semasa ke semasa. Bukan sahaja di peringkat Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, malah oleh ahli empat badan bebas yang lain iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan, Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Lebih 40 ahli menganggotai kelima-lima panel ini sebenarnya mewakili masyarakat. Mereka membawa suara rakyat.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berperanan memberi nasihat mengenai keseluruhan operasi SPRM. Jawatankuasa Aduan pula akan menyiasat sekiranya ada aduan yang mendakwa pegawai SPRM gagal menjalankan tugas dengan baik mengikut Akta SPRM 2009. Panel Penilaian Operasi mempunyai kapasiti untuk mendapatkan status siasatan sesuatu kes yang disiasat SPRM.
Jadi tidak timbul isu SPRM akan bertindak tidak adil atau selektif. Saya pasti mereka akan tanya jika ada sesuatu yang tidak kena dengan proses siasatan. Jadi, semua pihak akan memainkan peranan penting bagi mempertahankan integriti proses siasatan ini.
Dalam perkataan lain lagi mudah, saya yakin pihak yang membangkitkan isu integriti dan kewibawaan pasukan petugas khas ini, sengaja mahu mewarnakan imej buruk ke atas kerajaan dan institusi agensi penguatkuasaan.
Apakah ini satu lagi taktik pembangkang yang mahu mencetuskan rasa tidak percaya dari awal-awal lagi? Setiap anggota masyarakat mahu isu ini diselesaikan dengan adil dan telus. Justeru, kita harus meletakkan keyakinan ke atas pasukan petugas khas ini. Jika tidak, pasukan petugas khas yang mana harus menyiasat kes ini? Adakah kita hendak mempelawa pihak luar untuk menjalankan siasatan?
Pihak pembangkang wajar berhenti mempertikaikan kewibawaan siasatan pasukan petugas khas kes 1MDB. Perkara penting yang harus ditumpukan ketika ini adalah memberi kepercayaan kepada pasukan tersebut agar kebenaran dapat didedahkan kepada rakyat umum.
Kita harus berpegang kepada konsep undang-undang mesti ditegakkan dan tiada siapa mengatasi undang-undang. Kita juga perlu berpegang pada konsep tiada siapa yang salah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Sejarah juga menunjukkan bukan setiap kes yang disiasat berakhir dengan pendakwaan atau dibawa ke mahkamah. Bukan sahaja di Malaysia, malah di mana-mana negara pun. Di Malaysia, ada pemimpin pembangkang yang disiasat oleh polis dan SPRM, tidak pun dihadapkan ke mahkamah.
Kes tahun 2009-2010 adalah contoh, di mana saya tidak perlu menghuraikan di sini. Ia terdapat di publik domain. Boleh dijadikan rujukan oleh pihak-pihak yang mempertikaikan pasukan petugas khas ini pada hari ini.
Bermakna mereka tidak ada kes. Jika pihak yang sama tidak pernah mempertikaikan kewibawaan dan profesionalisme ketika itu. Jika begitu keadaan, mengapa hendak membangkitkan isu yang sama, lebih-lebih lagi ketika siasatan masih dijalankan.
Berlakulah adil kepada institusi agensi penguatkuasaan! Oleh itu, biarlah pasukan penyiasat ini melakukan tugas mereka dengan sebaik mungkin. Kita jangan cepat melatah, cepat buat rumusan dan cepat buat andaian-andaian yang tidak berasas sama sekali.
Maka, harapan saya, anggota perundangan dan pemimpin politik terutamanya dari pihak pembangkang perlu mendidik masyarakat, bukannya meracuni fikiran mereka dan mengelirukan mereka dengan menyerang pasukan petugas khas. Jangan perjudikan masa depan Malaysia dengan mempermainkan emosi rakyat.
PENULIS ialah ahli Parlimen Kuala Selangor dan anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.


No comments:
Post a Comment