Lipatan sejarah membuktikan kebenaran isu ini. Pada hari ini, ketika setiap detik menjadi semakin kompleks, isu ini menjadi satu perkara yang serius.

Sekadar untuk berkongsi beberapa kejadian yang masih dekat dengan kita, yang berlaku di negara ini pada tahun lalu, menunjukkan bahawa terdapat maklumat yang dibocorkan oleh pihak-pihak yang tidak gembira dengan kerajaan dan pemimpin tertentu. Bermakna kepentingan ideologi politik dan kepentingan diri mengatasi kepentingan negara. Golongan ini sanggup mengetepikan akujanji dan ikrar taat setia yang dilafazkan.

Pada April tahun lalu, laporan media memetik beberapa Ahli Parlimen membocorkan dokumen tidak sah berhubung jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Negara juga berhadapan dengan isu kebocoran soalan peperiksaan. Ia berulang lagi ketika musim peperiksaan sekolah pada September lalu.

Kedua-dua isu ini kelihatan kecil dan berjaya ditangani. Bagaimanapun, di sebalik amaran dan ketegasan seumpama itu, negara sedang berhadapan dengan satu isu kebocoran maklumat yang teramat serius. Tidak lain tidak bukan, ia bersangkut paut dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) - isu getir yang kita sedang lalui. Kita tidak pernah melihat, mendengar atau melalui isu yang paling getir seperti ini.

Yang menghairankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadikan sasaran utama serangan bertubi-tubi oleh pembangkang dan mantan utama pemimpin negara sehinggakan maruah beliau selaku pemimpin nombor satu negara tercalar, walhal beliau telah berkali-kali mengatakan beliau tidak langsung terlibat dengan sebarang urusan traksaksi IMDB. Adakah pihak pembangkang cemburu melihat kepimpinan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN dihormati oleh masyarakat antarabangsa atau pembangkang ingin mewujudkan satu persepsi negatif antarabangsa sehinggakan ekonomi dan matawang Malaysia terjejas?


Jenayah fitnah
Kebocoran maklumat, sama ada maklumat itu dipalsukan atau sebaliknya, boleh menyebabkan kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Seksyen 133, 248, 249 dan 250), Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Seksyen 145), Akta Rahsia Rasmi 1972 (Seksyen 3, 4, 7A, 7B, 8, 11 dan 14), Kanun Keseksaan melibatkan seksyen di bawah Bab XL untuk keterangan palsu dan direka-reka serta jenayah fitnah pada Seksyen 499 hingga 502.

Selain keselamatan, ia juga boleh menjadi sabotaj ekonomi terhadap Malaysia. Tindakan juga boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 499 sehingga Seksyen 502 kerana kesalahan fitnah jenayah dan pemalsuan dokumen untuk tujuan mensabotaj ekonomi negara. Sesiapa yang didapati bersalah membocorkan atau memalsukan dokumen berkenaan akan berhadapan dengan kuasa penuh undang-undang. Siasatan pihak berkuasa adalah untuk mengenal pasti mereka yang membocorkan bahan itu, dan menentukan sama ada dokumen itu asli atau dipalsukan.

Individu-individu terbabit dikatakan mempunyai niat mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokrasi. Malah, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat usaha anasir-anasir luar yang mahu mengganggu-gugat kestabilan negara.
Seperti diketahui, isunya bukan persoalan whistle-blowing atau memberi maklumat kerana perkara yang berkenaan sudah dalam siasatan. Kini masa untuk pihak berkuasa bertindak tegas bagi melindungi maklumat rahsia kerajaan. Saya berpandangan bahawa agensi-agensi kerajaan masih belum memberi keutamaan yang tinggi dalam soal ini.

Berdasarkan kepada perkembangan sejak Pilihan Raya Umum 2008, senario politik negara menunjukkan bahawa sudah ada keperluan untuk melihat semua undang-undang bagi mengadakan peruntukan yang lebih ketat lagi jelas mengikut kemajuan teknologi maklumat.

Pihak berkuasa tiada pilihan kecuali mempergiatkan usaha bagi memastikan tidak lagi berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan. Penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan boleh dipecat, bergantung kepada rahsia yang dibocorkan.
Usaha perlu dipertingkatkan bagi mengawal budaya membocorkan maklumat daripada terus berleluasa di negara. Pengalaman dan sejarah termasuk kejatuhan Kesultanan Melaka menunjukkan bahawa ia bertolak daripada perbuatan membocorkan dan menjual maklumat kepada pihak ketiga. Banyak empayar jatuh kerana tindakan tidak beramanah.
Kita sering terlupa daripada menjadikan sejarah sebagai peringatan atau tanda aras daripada mengulangi perkara yang sama.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam dunia hari ini, information is power, tetapi maklumat tidak betul, tidak tepat dan yang sengara direka, is more harmful di mana boleh menghancurkan negara, melumpuhkan ekonomi dan merosakkan kestabilan politik dan mencemari nama dan reputasi. Akhirnya, yang akan berhadapan dengan kesan buruk adalah rakyat.
Maka, setiap individu diberi amanah menjaga rahsia dan maklumat negara, perlu mengutamakan integriti. Individu yang didefinisikan ini bukan sahaja merujuk kepada penjawat awam, tetapi juga mereka yang berkhidmat di sektor swasta. Bukan sahaja mereka dalam negara, tetapi pihak yang berurusan dengan pihak luar dan negara lain.

Meskipun disyorkan agar meneliti semula aspek perundangan semasa, ia tidak akan membawa kita jauh ke hadapan, jika kita gagal menyempurnakan amanah yang dipikul. Sudah tiba masa, demi manfaat jangka panjang, sementara pihak berkuasa mengambil tindakan dalam isu semasa 1MDB ini, strategi perlu disusun untuk mendidik kepentingan menjaga kepentingan negara dengan memastikan rahsia - milik individu, organisasi atau negara - tidak dibocorkan kepada pihak ketiga.

Kesan buruk pihak yang main ‘kayu tiga’ amat buruk dan besar. Integriti adalah sempadan.
Jangan biar integriti dibeli oleh pihak yang mahu menjahanamkan negara. Menjadi perbincangan di kalangan rakyat ketika ini adakah perlu undang-undang seakan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan pendefinisian baru Undang-Undang SKMM perlu diperkenalkan oleh kerajaan bagi mengekang segala bentuk pengkhianatan kepada negara dan menghapuskan segala petualang yang langsung tidak memikirkan soal-soal kestabilan politik dan ekonomi Malaysia.

Fikir-fikirkanlah.

-PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Menangani Rasuah SPRM merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.